Thu .   |   |
Nama Fakulti
  • News
  • MoU UniSZA & WWF-Malaysia

MoU UniSZA & WWF-Malaysia

MoU UniSZA & WWF-Malaysia
 
Petaling Jaya | 8 Ogos 2024 
 
Hari ini menyaksikan jaringan kerjasama antara UniSZA dan WWF-Malaysia diperkukuhkan lagi melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak bertempat di Ibu Pejabat WWF-Malaysia, Petaling Jaya, melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM). WWF-Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian WWF (World Wide Fund for Nature), sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang bermatlamat untuk memastikan kelestarian alam semula jadi bagi manfaat manusia dan hidupan liar. Pemeteraian MoU ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan lagi aktiviti kerjasama antara UniSZA dan WWF-Malaysia. Pelbagai aktiviti kerjasama telah diadakan sebelum ini melibatkan kedua-dua pihak. Antaranya adalah program penanaman semula pokok bakau, pelepasan serta kajian berkaitan tuntung laut, pengekstrakan gelam bersama komuniti serta pembangunan sudut lestari di beberapa buah sekolah sekitar Setiu, Terengganu. WWF-Malaysia juga memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan program pelestarian dan pemuliharaan Taman Rimba Ilmu Tanah BRIS @ TRIBE (UniSZA). Aktiviti yang dilaksanakan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah, staf UniSZA dan WWF-Malaysia malah turut memberi manfaat kepada pelbagai lapisan komuniti di sekitar Besut, Setiu dan Kuala Nerus.Sebagai simbolik kerjasama penyelidikan, FBIM UniSZA turut menerima 'mock up cheque' daripada WWF-Malaysia berjumlah RM45,000.00 bagi pelaksanaan kajian berkaitan pemuliharaan tuntung laut di Setiu, Terengganu. Kajian akan dilaksanakan oleh penyelidik FBIM iaitu Prof. Madya Dr. Ahmad Syazni Kamarudin, Dr. Norshida Ismail dan Dr. Ahmad Hanafi Sulong.